|
BERITA KESIHATAN - Januari 2004 |
Maklumat Kesihatan
|
|||||
|
Selatan Thailand pula dilanda selesema burung (Utusan Malaysia, Sabtu 31 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) Wabak selesema burung kini merebak ke selatan Thailand apabila beberapa kes dikesan di Wilayah Phang Nga yang bersempadan dengan pusat peranginan Phuket. Penemuan ini bermakna virus selesema burung kini telah merebak ke 32 daripada 76 wilayah Thailand, termasuk Bangkok yang digambarkan oleh Timbalan Datuk Bandar sebagai zon bahaya.
Malaysia masih bebas jangkitan selesema burung (Berita Harian, Sabtu 31 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Malaysia masih bebas daripada jangkitan selesema burung yang kini melanda beberapa negara Asia tetapi mereka yang mempunyai hubungan terus dengan penternakan ayam atau itik diberi amaran mengambil langkah berjaga-jaga. Penduduk Kedah, Perlis dan Kelantan dinasihatkan tidak membeli ayam murah kerana kemungkinan berlaku kejadian ayam seludup.
China sangkal laporan selesema burung bermula dari negaranya (Utusan Malaysia, Jumaat 30 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) China telah menyangkal laporan akhbar mingguan dari Britain, New Scientist bahawa wabak selesema burung yang kini merebak ke-10 buah negara Asia bermula di negaranya pada suku pertama tahun lepas. Naib Menteri Pertanian China berkata, laporan itu dibuat berdasarkan sangkaan semata-mata dan tidak berasas sama sekali.
Selesema burung dikesan di enam daerah baru Thailand (Utusan Malaysia, Jumaat 30 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) Menurut pihak berkuasa kerajaan Thailand, selesema burung kini dikesan di enam lagi daerah baru di negara itu. Wabak selesema burung ini telah menyebabkan industri ternakan terjejas apabila ia mula merebak ke beberapa negara Asia. Dua wilayah yang paling terjejas iaitu Kanchanaburi dan Suphanburi telah bertindak membunuh ternakan ayam mereka.
Wabak penyakit kuku, mulut terkawal (Berita Harian, Jumaat 30 Januari 2004)
Kuantan, Pahang (Malaysia) Wabak penyakit kuku dan mulut yang dilaporkan sudah menjangkiti lebih 4,000 ekor lembu di tiga daerah di Pahang sejak Disember lalu, masih terkawal dan tidak membimbangkan. Semua lembu yang disahkan dijangkiti poenyakit itu sudah dikuarantin serta diberi rawatan teliti bagi memastikan bebas daripada wabak itu.
40 juta dijangka maut akibat selesema burung (Berita Harian, Jumaat 30 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) Berpuluh-puluh juta penduduk dunia dijangka maut jika penyakit selesema burung terus merebak dan bercampur dengan virus selesema biasa. Saintis yang menyertai sidang tergembar mengenai penyakit itu disini menyatakan secara terbuka bahawa satu wabak selesema burung akan menyaingi wabak Selesema Sepanyol yang mengorbankan 40 juta orang selepas Perang Dunia Pertama.
Selesema burung lebih bahaya daripada SARS (Utusan Malaysia, Khamis 29 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Wabak selesema burung lebih berbahaya daripada penyakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) kerana ia boleh membunuh secara cepat dan senyap tanpa menunjukkan tanda-tanda tertentu. Menurut Ketua Laboratori Imunoterapeutik dan Vaksin, Universiti Putra Malaysia (UPM), virus yang berpunca daripada burung itu akan lebih cepat meresap dan mengganas dalam tubuh manusia sekali gus membunuh sekiranya mangsa yang terkena virus itu mengalami selesema.
Vietnam catat lapan kematian akibat wabak selesema burung (Utusan Malaysia, Khamis 29 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Vietnam telah mencatat lapan kematian akibat wabak selesema burung apabila dua orang lagi disahkan meninggal dunia kerana wabak tersebut. Kes kematian terbaru itu melibatkan dua adik-beradik berusia 23 dan 30 tahun dari daerah Thai Binh yang meninggal dunia pada minggu lepas. Sementara itu, seorang kanak-kanak perempuan berumur 8 tahun masih berada di hospital di Bandar Ho Chi Minh manakala seorang kanak-kanak lelaki berumur 8 tahun dari Vinh Phuc telah dibenarkan pulang.
Ladang ayam seluruh negara bebas selesema (Berita Harian, Khamis 29 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Jabatan Perkhidmatan Haiwan (JPH) mengesahkan sehingga semalam, semua ladang ternakan ayam di negara ini bebas daripada sebarang tanda jangkitan penyakit Avian Influeza atau selesema burung. Hasil pemeriksaan di ladang ternakan di seluruh negara mendapati belum ada ayam yang dijangkiti penyakit itu.
Selesema burung berasal dari China (Berita Harian, Khamis 29 Januari 2004)
Beijing (China) China yang didakwa menjadi tempat asal wabak selesema burung sejak setengah tahun lalu, mengesahkan penularan penyakit maut itu di dua wilayahnya, sehari selepas negara itu mengesahkan kes pertama penularan wabak itu. Menurut majalah sains Britain, New Scientist yang memetik pakar kesihatan yang tidak didedahkan identiti mereka berkata, wabak itu mungkin bermula pada awal 2003, mungkin di China. Tindakan menyembunyikannya dan amalan pertanian yang meragukan menyebabkan virus itu menjadi wabak serius ketika ini.
Wabak selesema burung di Asia ancaman serius kesihatan manusia (Utusan Malaysia, Rabu 28 Januari 2004)
Geneva Tiga agensi kesihatan dan keselamatan pertanian antarabangsa memberi amaran hari ini bahawa wabak selesema burung di Asia merupakan ancaman yang serius terhadap kesihatan manusia. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Pertubuhan Makanan dan Pertanian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (FAQ) dan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE) berkata dalam kenyataan bersama bahawa penyebaran virus yang menyebabkan selesema burung merupakan satu cabaran penting bagi mengawalnya daripada merebak.
Makan ubi kayu punca empat kanak-kanak Orang Asli mati (Utusan Malaysia, Rabu 28 Januari 2004)
Ipoh, Perak (Malaysia) Muntah-muntah selepas memakan ubi kayu dipercayai punca kematian empat kanak-kanak Orang Asli seorang demi seorang di kampung Sahoi, Grik dan Kampung Sungai Kejar. Sampel air sungai telah diambil untuk ujian. Bagaimanapun, mengikut salah seorang dari kampung berkenaan, mangsa mengalami muntah-muntah selepas memakan ubi kayu.
Dua lagi disyaki dijangkiti selesema burung di Kemboja (Utusan Malaysia, Rabu 28 Januari 2004)
Phnom Penh (Kemboja) Dua orang lagi disyaki dijangkiti selesema burung di Kemboja selepas wabak tersebut dilaporkan merebak di negara itu. Kedua-dua mangsa itu berasal dari Phnom Penh, yang merupakan satu-satunya kawasan yang dijangkiti wabak tersebut. Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) belum menerima keputusan ujian makmal berhubung kedua-dua pesakit berkenaan.
Selesema burung: Seorang lagi rakyat Thai mati (Utusan Malaysia, Rabu 28 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) Seorang lagi rakyat Thailand iaitu seorang budak lelaki berusia enam tahun meninggal dunia hari ini akibat jangkitan wabak selesema burung. Budak itu meninggal dunia akibat pneumonia (radang-paru-paru) yang teruk. Setakat ini, lapan buah negara telah disahkan diserang wabak selesema burung iaitu Vietnam, Kemboja, Thailand, Korea Selatan, Indonesia, Jepun, Taiwan dan Laos.
Pewangi, cukur ketiak dikaitkan dengan barah (Berita Harian, Rabu 28 Januari 2004)
Los Angeles (Amerika Syarikat) Satu kajian terbaru Amerika Syarikat mendakwa wanita yang kerap bercukur ketiak dan turut menggunakan pewangi ketiak atau deodoran, lebih berisiko tinggi menghidap barah payu dara. Sebelum ini, satu kajian di Britain hanya mengaitkan pewangi ketiak dengan penyakit maut itu kerana mengandungi kimia sintetik dikenali sebagai parabens.
WHO risau selesema burung kian berbisa (Berita Harian, Rabu 28 Januari 2004)
Bangkok Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, virus selesema burung sudah berubah bentuk sejak ia kali pertama melanda Hong Kong pada 1997. Dalam kes awal, enam orang mati kali pertama direkodkan virus berkenaan menjangkiti manusia manakala dalam situasi sekarang jangkitannya lebih berbisa apabila lapan orang terbunuh dan sembilan negara terbabit. Perubahan bentuk virus itu merumitkan usaha mencari vaksin.
Tiga terkorban penyakit misteri serang utara Bangladesh (Utusan Malaysia, Selasa 27 Januari 2004)
Dhaka (India) Dalam tempoh 24 jam lalu, sekurang-kurangnya tiga mangsa lagi telah terkorban akibat penyakit misteri yang menyerang kawasan utara Bangladesh dan ini menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 15 orang. Setakat ini 10 orang yang terkorban akibat penyakit misteri itu dari daerah Rajbari sementara baki lima lagi mangsa yang meninggal dunia itu dari daerah Goalando, Faridpur dan Manikganj.
WHO gesa masyarakat antarabangsa cari penawar wabak selesema burung (Utusan Malaysia, Isnin 27 Januari 2004)
Manila (Filipina) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini menggesa masyarakat antarabangsa membantu mencari penawar bagi wabak selesema burung yang kini semakin merebak di Asia. Disamping itu pihak WHO juga kini bertungkus lumus mencari vaksin baru bagi penyakit itu kerana vaksin yang dihasilkan sewaktu wabak tersebut merebak di Hong Kong pada tahun 1997 lalu tidak lagi sesuai digunakan.
Sah enam mati akibat selesema burung (Utusan Malaysia, Selasa 27 Januari 2004)
Bangkok Thailand telah mengesahkan sebanyak enam kes kematian akibat wabak selesema burung dan sebanyak 10 kes baru yang disyaki dengan lima daripadanya adalah kanak-kanak. Setakat ini, 12 orang termasuk enam di Vietnam mati selepas disahkan menghidap selesema burung. Wabak tersebut telah menjangkit berjuta-juta ternakan ayam di Thailand, Vietnam, Kemboja, Korea Selatan, Jepun, Indonesia Taiwan dan Pakistan.
Malaysia disahkan bebas wabak selesema burung (Utusan Malaysia, Selasa 27 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Malaysia disahkan bebas daripada wabak selesema burung. Oleh itu orang ramai tidak perlu bimbang dan semua pihak perlulah berjaga-jaga supaya ia tidak merebak ke negara ini. Jabatan Perkhidmatan Haiwan juga sudah berhenti mengimport ayam beku dari negara-negara yang dijangkiti penyakit tersebut.
Pencemaran sungai punca empat anak Orang Asli meninggal (Berita Harian, Selasa 27 Januari 2004)
Ipoh, Perak (Malaysia) Kematian empat kanak-kanak Orang Asli Kampung Sungai Kejar satu demi satu dalam tempoh dua minggu di dipercayai berpunca daripada pencemaran air Sungai Kejar di pendalaman Hutan Belum, Grik. Mengikut laporan awal, semua mangsa mati selepas muntah-muntah, tetapi tidak mengalami sebarang cirit-birit. Bagaimanapun, itu hanya laporan awal kerana pihak Jabatan Kesihatan sedang menjalankan analisis sampel Sungai Kejar bagi mengetahui punca sebenar kematian.
Keluarga murid meninggal akibat difteria dikuarantin (Berita Harian, Selasa 27 Januari 2004)
Kuala Terengganu, Terengganu (Malaysia) Seorang murid Sekolah Mengabang Telipot, Batu Rakit berusia 7 tahun telah meninggal dunia Khamis lalu disebabkan menghidap penyakit kerongkong atau difteria. Berikutan itu, 11 orang termasuk lapan adik beradik serta ibu bapa Allahyarham kini dikuarantin di Hospital Kuala Terengganu (HKT) selama 10 hari. Difteria ialah sejenis penyakit berjangkit yang mendapatkan imunisasi lengkap akibat daripada penyebaran kuman corynebacterium diphteriae. Sumber berkata, semua yang dikuarantin dan diperiksa menunjukkan tanda negatif dan kemungkinan akan dibenarkan pulang.
(Berita Harian, Selasa 27 Januari 2004)
Kangar, Perlis (Malaysia) Ayam-ayam di pasaran tempatan selamat untuk dimakan kerana kesemua ayam itu dibekalkan oleh penternak tempatan selepas import ayam dari Thailand dibekukan sejak Januari tahun lalu. Olehitu, pengguna-pengguna di negara ini boleh memakan daging ayam pasaran tempatan tanpa was-was. Bagaimanapun, Jabatan Perkhidmatan Haiwan akan terus membuat pemantauan dan pengawasan untuk memastikan penyeludupan ayam bagi mengelak wabak selesema burung tidak merebak ke negara ini.
Penyakit misteri bunuh 12 orang di Bangladesh (Utusan Malaysia, Isnin 26 Januari 2004)
Dhaka (India) Sekurang-kurangnya 12 orang telah terbunuh di Bangladesh dan ramai lagi dirawat di hospital kerana satu penyakit misteri, kata pakar-pakar kesihatan. Beberapa sampel telah dihantar ke Amerika Syrikat (AS) untuk dianalisis. Para pesakit kebanyakannya kanak-kanak lelaki diserang demam panas, sakit kepala dan muntah-muntah sebelum tidak sedarkan diri. Setakat ini, penyakit ini belum dapat dikenalpasti.
Tempoh enam bulan hasilkan vaksin ubati selesema burung (Utusan Malaysia, Isnin 26 Januari 2004)
Bangkok (Thailand) Menurut jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), vaksin bagi mengubati selesema burung yang melanda Asia mungkin berjaya dihasilkan dalam tempoh enam bulan lagi. Bagaimanapun, agensi kesihatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkata dalam webnya bahawa ia bimbang virus tersebut akan berubah sekali gus menjejaskan kerja-kerja penghasilan vaksin tersebut.
5 budak Orang Asli mati penyakit misteri (Utusan Malaysia, Isnin 26 Januari 2004)
Ipoh, Perak (Malaysia) Lima kanak-kanak Orang Asli mati akibat penyakit misteri sejak tiga minggu lepas di Kampung Sungai Kejar. Beberapa lagi mangsa di kalangan Orang Asli berkenaan dikatakan turut mengalami penyakit yang masih tidak diketahui puncanya itu, tetapi keadaan mereka dilaporkan stabil.
Semakin ramai penduduk Beijing gemuk (Berita Harian, Isnin 26 Januari 2004)
Beijing (China) Satu pertiga daripada penduduk negara China mengalami risiko kesihatan kerana makan berlebihan dan kurang melakukan aktiviti riadah. Menurut laporan agensi berita Xinhua yang dipetik dari laporan hasil kaji selidik ke atas 20 kumpulan masyarakat yang dikendalikan oleh Pusat Pencegahan dan kawalan Penyakit Beijing hampir 32 peratus dari semua penduduk Beijing mengalami penyakit jantung koronari, tekanan darah tinggi dan kegemukan.
(Berita Harian, Isnin 26 Januari 2004)
Jakarta (Indonesia) Kerajaan Indonesia bercadang untuk mengambil contoh darah secara rambang dari beberapa wilayah bagi memeriksa petanda jangkitan selesema burung. Ia satu bentuk pemantauan bagi menentukan sama ada wujud jangkitan selesema burung di kalangan penduduknya.
Tumpuan bendung selesema burung (Utusan Malaysia, Rabu 21 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Pakar-pakar penyakit antarabangsa kini bertungkus lumus berusaha untuk membendung penularan wabak selesema burung di Vietnam. Enam pakar dari Pusat Kawalan dan Pencegahan penyakit Amerika Syarikat (AS) tiba di Hanoi pagi ini untuk membantu pakar-pakar dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pihak berkuasa kesihatan Vietnam. Setakat ini Vietnam mencatatkan lima kes kematian yang disahkan akibat virus H5N1 di bahagian utara negara itu.
Punca dua juta ayam mati belum diketahui (Berita Harian, Rabu 21 Januari 2004)
Phnom Penh (Kemboja) Kemboja sedang menunggu keputusan ujian saintifik untuk mengetahui sama ada ayam-ayam yang mati di beberapa buah ladang dekat Phnom Penh baru-baru ini dijangkiti selesema burung seperti yang melanda beberapa buah negara jirannya. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), setakat ini tiada tanda-tanda penyakit itu berjangkit kepada manusia di Kemboja.
Doktor perlu amalkan ubat mengikut jantina (Berita Harian, Rabu 21 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa Kementerian Kesihatan memastikan pengamal perubatan moden mengamalkan ubat mengikut jantina kerana keberkesanan ubat yang diberi mungkin bergantung kepada jantina pesakit. Sistem dalam tubuh lelaki dan wanita hampir semuanya berbeza, daripada komposisi air liur sehinggalah kepada cara makanan diproses melalui usus mereka, cara mereka bertindak terhadap kesakitan dan bagaimana tubuh mereka menghadam serta menghancurkan ubat.
Daging AS, Kanada belum selamat (Berita Harian, Selasa 20 Januari 2004)
Tokyo (Jepun) Pasukan kerajaan Jepun memberi amaran bahawa daging lembu negara Amerika Syarikat (AS) dan jirannya, Kanada masih terdedah kepada penyakit lembu gila. Mereka baru pulang dari AS selepas melakukan siasatan terhadap kes pertama wabak lembu gila di AS. Lembu berpenyakit itu dikesan di Washington dan dikatakan diimport dari Kanada.
Amalan menyanyi kuatkan sistem ketahanan badan (Utusan Malaysia, Selasa 20 Januari 2004)
Frankfurt Kajian oleh sekumpulan saintis Universiti Frankfurt di Jerman mendapati amalan menyanyi boleh menguatkan sistem ketahanan badan. Saintis-saintis itu menguji sampel darah daripada sekumpulan orang yang menyanyi dalam koir profesional di bandar raya itu sebelum dan selepas berlatih menyanyikan lagu Requiem gubahan Mozart selama 60 minit. Mereka membuat kesimpulan bahawa menyanyi bukan sahaja menguatkan sistem ketahanan tetapi juga menceriakan penyanyi.
Budak mangsa kelima wabak selesema (Utusan Malaysia, Selasa 20 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan seorang lagi budak perempuan berumur lapan tahun menjadi mangsa wabak selesema burung di Vietnam. Dengan kematian terbaru ini, jumlah mangsa yang disahkan meninggal dunia akibat H5N1 yang menjadi punca penyakit selesema burung di kalangan manusia meningkat kepada lima orang.
136 pesakit diperiksa kesan tanda-tanda SARS (Berita Harian, Isnin 19 Januari 2004)
Hong Kong Hospital-hospital di Hong Kong sedang melakukan pemeriksaan terhadap 136 orang bagi mengesan sebarang tanda-tanda Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Mereka diletakkan dalam pemerhatian kerana menghidap demam setelah kembali dari wilayah Guangdong. Setakat ini, tiada seorangpun daripada 136 orang itu yang menunjukkan tanda-tanda dijangkiti penyakit SARS.
Selesema burung tidak merebak melalui makanan (Berita Harian, Isnin 19 Januari 2004)
Manila (Filipina) Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), selesema burung yang membunuh sekurang-kurangnya empat orang di Vietnam kebanyakannya berjangkit menerusi najis burung dan bukan masakan ayam. Apabila dicemari najis ayam, virus avian influenza masuk ke dalam udara dan disebarkan menerusi angin. Penternak ayam juga menghadapi risiko dijangkiti virus berkenaan. Dengan memasak atau merebus ayam sebelum mencabut bulunya virus itu akan mati.
(Berita Harian, Isnin 19 Januari 2004)
Dungun, Terengganu (Malaysia) Sepanjang tahun lalu, seramai 54,219 rakyat negara ini, terutama penagih dadah disahkan dijangkiti virus HIV/Aids. Kerajaan Persekutuan melalui Majlis Aids Malaysia (MAM) sudah membelanjakan kira-kira RM4 juta dalam usaha mengubati dan mencegah virus berkenaan daripada tersebar. Melalui peruntukan itu, pelbagai aktiviti telah diadakan bagi memastikan pesakit Aids tidak tersisih daripada masyarakat disamping mengadakan program pencegahan.
Selesema burung ragut 13 nyawa di Vietnam (Berita Harian, Jumaat 16 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Vietnam semalam mendedahkan bahawa 13 penduduknya terbunuh kerana selesema burung, ketika ujian sedang dijalankan pada peringkat antarabangsa bagi memastikan sama ada virus penyakit itu boleh disebarkan antara manusia. Sehingga kini, pihak berkuasa Vietnam mencatatkan 18 kes jangkitan yang disyaki membabitkan manusia dengan 13 kematian iaitu 11 kanak-kanak dan dua dewasa.
Malaysia bebas selesema burung (Berita Harian, Jumaat 16 Januari 2004)
Subang Jaya, (Malaysia) Kementerian Kesihatan mengesahkan Malaysia masih bebas daripada jangkitan virus misteri selesema burung yang melanda kebanyakan kawasan ternakan ayam di Asia. Kajian oleh Institut Kajian Perubatan (IMR) menunjukkan tiada jangkitan virus berkenaan sehingga kini di Malaysia.
Barat Daya Pulau Pinang tertinggi denggi (Berita Harian, Jumaat 16 Januari 2004)
Georgetown, Pulau Pinang (Malaysia) Daerah Barat Daya mencatat 145 kes demam denggi iaitu jumlah tertinggi dalam laporan kes penyakit itu di Pulau Pinang sepanjang tahun lalu. Daripada 449 kes yang dilaporkan, daerah berkenaan adalah yang paling tinggi, diikuti 131 kes di kawasan bandar raya dan 84 kes di timur laut. Secara keseluruhan jumlah kes pada tahun lalu berkurangan. Jumlah kematian yang berpunca daripada demam denggi sepanjang 2003 di Pulau Pinang hanya dua orang.
Selesema burung, import ayam dibeku (Berita Harian, Khamis 15 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Import ayam beku dari negara Asia telah dibekukan oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan berikutan jangkitan selesema burung yang hingga kini mengakibatkan kematian tiga orang di Vietnam. Ujian yang dilakukan di makmal Hong Kong mengesahkan selesema burung itu telah meragut nyawa seorang dewasa dan seorang kanak-kanak di Hanoi. Lebih sejuta ayam mati di Vietnam akibat jangkitan virus selesema burung yang dikatakan merebak dengan cepat membabitkan haiwan ternakan tetapi jarang sekali menjangkiti manusia.
Selesema burung lebih bahaya daripada SARS: WHO (Berita Harian, Khamis 15 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Selesema burung yang kini melanda kawasan ternakan di Asia mungkin lebih berbahaya berbanding Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO). Mangsa selesema yang digelar selesema Avian di Vietnam membabitkan seorang dewasa dan dua kanak-kanak dan dilabel sebagai Influenza A atau H5N1; virus yang sama ditemui dalam ayam ternakan di selatan negara itu yang jatuh sakit dan diarahkan supaya dibunuh. WHO juga menguji sembilan kanak-kanak lagi yang disyaki dijangkiti virus misteri itu dan tidak diketahui bagaimana ia boleh tersebar dan ianya dipercayai berpunca daripada najis dan air kencing burung yang berhijrah dari satu tempat ke tempat lain.
Tiada bukti kaitkan telefon bimbit dengan barah (Berita Harian, Khamis 15 Januari 2004)
London Menurut satu panel pakar Britain, tiada bukti yang mengaitkan telefon bimbit dengan barah atau masalah kesihatan lain tetapi lebih banyak penyelidikan perlu dijalankan bagi memastikan perkara ini. Kemungkinan timbul masalah kesan kesihatan akibat terdedah kepada gelombang radio telefon bimbit tetap ada dan penyelidikan berterusan amat diperlukan.
Dua disyaki mangsa selesema burung terbaru (Utusan Malaysia, Khamis 15 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Seorang bayi perempuan berusia 15 bulan dan seorang lelaki merupakan antara mangsa terbaru mereka yang disyaki menghidap selesema burung di Vietnam. Mereka adalah antara 15 orang yang menghidap selsema tersebut di Hanoi dan serta wilayah sekitarnya.
(Berita Harian, Rabu 14 Januari 2004)
Beijing (China) China menolak khabar angin mengatakan seorang lelaki yang sedang dirawat di bandar Shenzhen mungkin menghidapi Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) walaupun Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), berkata satu daripada dua kes yang dikesan sebelum ini mungkin menghidap virus maut berkenaan. Seorang pedagang kain berusia 38 tahun menunjukkan tanda-tanda SARS sejak sebulan lalu tatapi doktor mengsahkan beliau hanya menghidap sejenis bakteria radang paru-paru.
Barah payu dara dikaitkan dengan pewangi ketiak (Berita Harian, Rabu 14 Januari 2004)
London Minggu lalu sebuah jurnal perubatan telah menyiarkan satu kajian kontroversi yang mengaitkan sejenis bahan kimia yang lazim digunakan dalam alat kosmetik dan deodoran atau pewangi ketiak dengan barah payu dara. Penyeldik yang mengkaji 20 ketumbuhan buah dada manusia, menemui bahan kimia sintetik dikenali parabens dalam 18 sampel, termasuk empat contoh dengan kandungan tinggi. Paraben adalah kumpulan bahan kimia yang digunakan sebagai bahan pengawet dalam kosmetik termasuk krim muka, bedak asas dan bahan pupur muka. Ia turut digunakan dengan meluas dalam sektor industri dalam bentuk minyak, pengilat kasut dan gam.
Bahan kimia berbahaya dalam pewarna rambut (Berita Harian, Rabu 14 Januari 2004)
London Menurut Persatuan Penyelidikan Barah yang dipetik dari Badan Penyiaran Britain (BBC), penggunaan pewarna rambut dikatakan mampu menyebabkan barah. Menurut laporan BBC itu, bahan membabitkan warna gelap dan pewarna rambut yang kekal digunakan setiap empat sehingga enam minggu dikaitkan dalam kajian terbaru itu. Saintis paling bimbang mengenai dua bahan kimia digunakan iaitu para-phenylenediamine dan tetrahydro-6-nitroquinoxaline yang menunjukkan tanda-tanda merosakkan bahan genetik badan manusia dan menyebabkan barah ke atas haiwan.
(Berita Harian, Rabu 14 Januari 2004)
Los Angeles Seorang wanita berusia 35 tahun yang didapati bersalah Oktober lalu kerana membunuh suaminya dengan racun sejenis tumbuhan oleander yang dimasukkan dalam makanan dan bahan kimia ke dalam minumannya dihukum mati kelmarin. Beliau meletakkan racun oleander dalam makanan suaminya bagi membolehkannya dihantar ke hospital dan kemudian membunuhnya di rumah dengan meletakkan bahan kimia itu dalam minuman.
Asia hadapi ancaman wabak selesema burung (Utusan Malaysia, Rabu 14 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Rantau Asia menghadapi ancaman terbaru kesihatan apabila para saintis mengesahkan bahawa kematian tiga orang di Vietnam ada kaitan dengan wabak selesema burung. Keputusan makmal mengesahkan dua kanak-kanak dan seorang wanita di Hanoi dijangkiti virus demam selesema H5N1, yang juga dikenali sebagai selesema burung.
Penghidap Kencing Manis di Felda meningkat (Berita Harian, Selasa 13 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Institut Diabetes Negara (Nadi) akan memberi tumpuan program Menangani Wabak Diabetes (MWD) di kawasan Felda seluruh negara berikutan jumlah penghidap kencing manis yang semakin meningkat di situ. Kajian yang dijalankan dua tahun lalu mendapati lebih 28 peratus daripada peneroka Felda mengalami masalah Gangguan Toleransi Glukosa (IGT) yang berpotensi tinggi menghidap diabetes sekiranya mereka tidak mengambil langkah pencegahan dan berjaga-jaga.
China sahkan lelaki ketiga disyaki menghidap SARS (Utusan Malaysia, Selasa 13 Januari 2004)
Beijing (China) Pihak berkuasa kesihatan China mengesahkan lelaki berusia 35 tahun yang di masukkan ke hospital sebagai kes yang disyaki Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) iaitu kes ketiga di China pada musim sejuk ini. Keadaan lelaki tersebut stabil dan ujian lanjut akan dijalankan untuk memastikan sama ada dia benar-benar menghidapi SARS.
Tadafil ubat mati pucuk dijual (Utusan Malaysia, Selasa 13 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Ubat mati pucuk generasi kedua, Tadafil, mula dijual di farmasi-farmasi di seluruh negara mulai hari ini. Oral terapi yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan sejak Oktober tahun lalu dapat bertahan dalam tubuh pesakit selama 36 jam. Pil berwarna kuning yang berbentuk seperti badam itu boleh didapati dalam dos 20mg dengan harga antara RM40 hingga RM45 sebiji.
Kemunculan semula SARS di China hanya antara kes terpencil (Berita Harian, Isnin 12 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Wabak Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) yang didapati muncul semula di China baru-baru ini, hanyalah sebilangan kes yang terpencil. Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan berharap mana-mana media massa tidak mengembar-gemburkan kes berkenaan.
3 wartawan Hong Kong bebas SARS (Berita Harian, Sabtu 10 Januari 2004)
Hong Kong Tiga pemberita televisyen yang pada mulanya menunjukkan tanda-tanda Sindron Pernafasan Yang Teruk (SARS) selepas melawat Guangdong di selatan China baru ini didapati tidak dijangkiti virus berkenaan. Hasil ujian terhadap mereka menunjukkan negatif.
(Berita Harian, Sabtu 10 Januari 2004)
Guangzhou (China) Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) beberapa kes Sindrom Pernafasan Teruk (SARS) disyaki mungkin muncul kerana simptom yang sama dengan wabak musim sejuk biasa. Seorang pekerja pelayan berusia 20 tahun di Guangzhou, disyaki dijangkiti SARS. Kesnya dikesan beberapa hari selepas China mengesahkan ia jangkitan SARS pertama sejak tahun lalu.
25 peratus pesakit jantung warga tua (Berita Harian, Sabtu 10 Januari 2004)
Ipoh, Perak (Malaysia) Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Sains. Teknologi dan Alam Sekitar negeri, lebih 25 peratus pesakit jantung di Perak berusia 70 tahun ke atas. Keadaan ini adalah berbeza daripada biasa kerana kebanyakan pesakit jantung biasanya berusia 50 tahun ke atas. Keadaan ini berlaku mungkin disebabkan pesakit jantung di negeri ini hanya datang mendapatkan rawatan apabila keadaan kesihatan mereka sudah menjadi tenat.
(Berita Harian, Sabtu 10 Januari 2004)
Alor Setar, Kedah (Malaysia) Sejak pertengahan November lalu, Jabatan Kesihatan Kedah telah mengesan peningkatan kes demam denggi di daerah Kota Star. Peningkatan itu dikesan di kawasan Taman Nuri, Taman Wira, Taman Rakyat, Mergong, kawasan Kuala Kedah dan Kampung Seberang Terus. Walaupun, tiada kes membabitkan kematian, tetapi masih ada kes baru yang dikesan di kawasan terbabit kerana penduduk enggan membenarkan rumah mereka menjalani semburan.
Vietnam kenal pasti penyakit korbankan beratus ribu ayam (Utusan Malaysia, Sabtu 10 Januari 2004)
Hanoi (Vietnam) Kerajaan Vietnam hari ini mengenalpasti penyakit yang mengorbankan beratus-ratus ribu ayam di negara itu sebagai wabak selesema burung. Sehubungan dengan itu, pihak kerajaan mengarahkan satu kempen dilancarkan untuk membunuh ayam-ayam yang dijangkiti wabak tersebut. Kementerian Pertanian juga telah diarahkan supaya mencari bantuan luar bagi membantu mengenal pasti jenis virus tersebut dan mencari penawarnya.
SARS tidak jejas lawatan rakyat Malaysia ke China (Berita Harian, Jumaat 9 Januari 2004)
Kuala Lumpur (Malaysia) Menteri Kesihatan berkata, rakyat bebas melawat China termasuk wilayah Guangdong, walaupun kes Sindrom Pernafasan Yang Teruk (SARS) disahkan berulang di negara itu. Ini kerana hanya satu kes sahaja yang dilaporkan di republik itu dan orang ramai tidak sepatutnya memberi reaksi berlebihan. Walau bagaimanapun, Kementerian Kesihatan tetap mengetatkan pemeriksaan kesihatan ke atas pelancong dari wilayah Guangdong selepas Kerajaan China mengumumkan seorang lelaki di republik itu disahkan menghidap SARS.
Penerbit TV dijangkit SARS tidak pernah ambil musang civet (Utusan Malaysia, Khamis 8 Januari 2004)
Beijing (China) Penerbit Televisyen berusia 32 tahun yang merupakan pesakit Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) mengakui tidak pernah mengambil musang civet sebagai hidangan makanan. Beliau mengeluarkan kenyataan tersebut sewaktu beribu-ribu ekor musang civet dibunuh bagi mengelakkan virus yang terdapat di dalam haiwan liar terbabit daripada menjangkiti manusia. Penyelidik berkata, mereka menemui persamaan antara sejenis virus yang ditemui di dalam musang civet dengan virus yang dikesan di dalam badan pesakit itu.
Lembu import dari Kanada punca penyakit lembu gila (Utusan Malaysia, Khamis 8 Januari 2004)
Washington (Amerika Syarikat) Menurut Jabatan Pertanian Amerika Syarikat (AS) Lembu yang diimport dari sebuah ladang di Kanada merupakan lembu pertama di AS yang didapati menghidapi penyakit lembu gila atau bovine spongiform encephalopathy (BSE). Mereka mempunyai bukti DNA yang membolehkan mereka mengesahkan perkara itu.
SARS: 38 warga Filipina dikuarantin (Utusan Malaysia, Rabu 7 Januari 2004)
Manila (Filipina) Filipina mengarahkan 38 rakyat negara itu dikuarantin di rumah masing-masing selepas mereka berhubung dengan seorang wanita yang disyaki dijangkiti Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) . Wanita berusia 42 tahun dan suaminya kini dikuarantin dan pihak berkuasa perlu menunggu sehingga esok untuk mengesahkan sama ada dia menghidap SARS.
2 pil wajar disenarai produk perubatan (Berita Harian, Rabu 7 Januari 2004)
Georgetowan (Pulau Pinang) Kementerian Kesihatan disaran menyenaraikan dua jenis pil diet orlistat dan sibutramine ke dalam senarai produk perubatan bagi kegunaan mengatasi masalah obesiti (kegemukan). Kira-kira lima peratus rakyat Malaysia dijangka mengalami masalah obesiti dan 21 peratus lagi mengalami berat badan berlebihan mengikut kriteria indeks jisim tubuh (BMI) yang baru. Kedua-dua ubat itu hanya perlu diberikan kepada mereka yang mengalami komplikasi obesiti termasuk ketegangan melampau, diabetes dan masalah jantung.
Lelaki dari Guangdong sah hidap SARS (Utusan Malaysia, Selasa 6 Januari 2004)
Beijing (China) Kementerian Kesihatan China semalam mengesahkan seorang lelaki Guangdong yang dirawat di hospital kerana menunjukkan tanda-tanda Sindrom Pernafasan Akut (SARS) menghidap penyakit maut berkenaan. Kes SARS muncul pada 27 Disember lalu, apabila seorang pekerja stesen televisyen berusia 32 tahun dimasukkan ke hospital di bandar Guangdong kerana demam panas iaitu tanda awal SARS, tetapi pesakit berkenaan kini berada dalam keadaan stabil dan suhu badannya pada tahap normal.
Lelaki disyaki dijangkiti virus SARS jenis baru (Utusan Malaysia, Isnin 5 Januari 2004)
Beijing (China) Menurut seorang pakar genetik, lelaki yang disyaki menghidapi Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS) di selatan China mungkin dijangkiti virus SARS jenis baru yang telah dimutasi. Media China menyatakan, pesakit berkenaan mungkin dijangkiti virus SARS daripada tikus tetapi perkara itu belum disahkan. Walaupun virus itu koronavirus tetapi jenisnya berbeza daripada virus yang dikesan tahun lepas.
Punca lelaki disyaki hidap SARS disiasat (Utusan Malaysia, Jumaat 2 Januari 2004)
Beijing (China) Penyiasat perubatan telah memeriksa parit dan saluran najis di sebuah blok kediaman, sebuah kedai ubat dan sebuah rumah persendirian di selatan China dalam usaha untuk mencari punca penyakit seorang lelaki yang disyaki kes terbaru Sindrom Pernafasan Akut Teruk (SARS). Penyakit lelaki yang berusia 32 tahun itu masih diklasifikasikan sebagai kes disyaki sahaja dan kini dia masih dirawat di hospital tetapi keadaannya dilaporkan bertambah baik.
AS haramkan penjualan ubat herba Ephedra (Utusan Malaysia, Jumaat 2 Januari 2004)
Washington (Amerika Syarikat) Penjualan ubat Ephedra akan diharamkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) mulai awal tahun depan. Pengharamam itu ada kaitan dengan kematian 155 orang dan menyebabkan berpuluh-puluh lagi diserang penyakit jantung dan lumpuh. Ephedra pada suatu ketika dahulu cukup popular untuk digunakan bagi tujuan menguruskan badan dan bina badan.
China hantar sampel penghidap SARS untuk ujian di luar negara (Utusan Malaysia Jumaat 2 Januari 2004)
Beijing (China) China akan menghantar sampel-sampel seorang pesakit yang disyaki menghidap Sindrom Pernafasan Akut Yang Teruk (SARS) untuk diuji dengan lebih terperinci di sebuah makmal di luar negara. Keputusan itu dibuat berdasarkan kepada cadangan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan selepas para penyelidik China gagal mengesahkan sama ada lelaki tersebut mempunyai virus SARS.
|
Ruangan ini merupakan ringkasan berita-berita yang dipetik dari Akhbar-akhbar tempatan di Malaysia - berkaitan dengan tajuk-tajuk keracunan dan kesihatan. Sekiranya anda berminat dengan mana-mana berita, sila hubungi WebMaster.
Untuk Berita Dalam Bahasa Inggeris.
|